Wahai hati,kau dan aku satu jasad yang sama. Setiap hari kita selalu bersembang berdua. Kau dan aku tiada bezanya. Di saat aku sedih,kau jua sedih. Di saat aku gembira kau juga turut gembira. Di saat aku kesunyian,kau ada menemani,di saat kamu disakiti aku juga terasa peritnya.
Wahai hati,indah sungguh hubungan yang Allah ciptakan buat kita berdua. Kita saling berkait antara satu dengan yang lain. Jahat kamu jahatlah aku. Baik kamu baiklah aku. Dikaulah rakan karibku sejak dari mula aku dilahirkan. Masih ingatkah saat aku masih tidak boleh berkata kata. Saat aku lapar dan dahaga sewaktu aku masih bayi,aku tidak boleh membutirkan sebutan yang aku lapar. Kau membantuku dengan mengizinkan aku menangis. Masih ingat bukan?
Kini kita sudah dewasa. Kita sudah berjumpa dengan hakikat dunia yang nyata. Kau dan aku besar kita bersama. Pengalamanku pengalamanmu jua. Kini dunia sudah semakin mencabar buat kita berdua. Kita hidup dalam kalangan manusia yang pada hakikatnya suka menilai diri kita sesuka hati mereka. Sering sahaja manusia disekelilingmu menyakitkan dikau wahai hati. Aku juga berkongsi rasa yang sama.
Sekali dikau sakit wahai hati,jasad ini turut terasa. Peritnya hanya kita berdua yang tahu. Memang,sudah beribu kali kamu wahai hati terluka akibat dunia. Aku mengerti itu wahai sahabatku.
Satu yang aku mohon wahai hati. Sentiasalah kuat tak kira apa pun yang terjadi. Sesungguhnya dunia ini amat kuat dugaannya dan aku perlukan kekuatanmu wahai hati. Sentiasalah bisikkan kata kata semangat buatku setiap hari wahai hati. Bantulah aku untuk kuat dan aku akan membantumu untuk lebih tabah.
Wahai hati,aku akan sentiasa menjagamu. Tatkala malam dan siang aku akan menjagamu. Usah lagi kita dengar mulut mulut manusia itu. Usah lagi kita dengar perkara yang menyakitkan. Kelak kita akan gembira disamping orang orang yang kita cinta. Wahai hati,senaskah surat ini untukmu,semoga kau sentiasa tabah...