Yang tidak pernah silap itu Tuhan,yang tidak pernah berdosa itu Tuhan. Aku sekadar makhluk ciptaanNya yang penuh kelemahan. Sentiasa sahaja aku melakukan kesalahan. Sehingga ada diantara manusia yang membenci dan mengalihkan pandangan,mencemuh dan menghinaku atas kesalahan yang aku lakukan.
Ada diantara mereka yang merenung tajam,dengan penuh dendam terhadap diriku. Seperti mahu menikam aku sesaat aku melintas dihadapan mereka. Timbul rasa sedih di dalam hatiku,di mana perginya temanku yang akrab itu dahulu. Yang dahulu penuh mesra disapa dan dengan tawa kita gembira bersama. Kini yang ku lihat hanya pandangan yang penuh dendam yang aku sendiri tidak mengerti sebab musabab mengapa ianya terjadi.
Aku terus merenung masa silamku. Benar,banyak kesalahan aku lakukan. Baik dengan manusia sekalipun Tuhan aku ingkar suruhan. Ternyata banyak sungguh kesalahan aku lakukan. Tak daya untuk aku balikkan masa yang sudah berlalu,hanya kemaafan sahaja yang bisa aku pinta daripadaMu Ya Rabb.
Izinkan aku bertanya satu soalan,adakah kau juga tidak pernah melakukan kesalahan? Moga dosaku ini dimaafkan. Maafkan aku wahai teman. Aku juga pendosa sepertimu. Aku bergelut dalam diri untuk berubah hari ke hari. Yang satu yang lima kesalahan ini sentiasa aku terima dengan hati terbuka,agar aku dapat belajar daripadanya.
Maafkan aku,aku merayu. Usah diberi lagi pandangan sebergitu. Kerana kau adalah yang aku gelar teman,yang pernah menghiasi hidupku sebagai perhiasan. Cukuplah kesalahan ini aku sesalkan. Janganlah kau bersifat Tuhan,menghukumku hingga ke neraka aku dihumban.